KOTA BELUD: Seorang lelaki berusia 32 tahun melecur pada muka dan badan selepas meredah api bagi menyelamatkan isteri serta empat anaknya dalam kebakaran satu blok premis berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Narinang, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk, berkata kebakaran membabitkan sembilan pintu premis dengan keluasan kira-kira 557 meter persegi dan musnah hampir keseluruhan premis.
“Pasukan bomba menggunakan dua aliran hos sepanjang 61 meter dan terpaksa mendapatkan air sejauh tiga kilometer kerana pili bomba berhampiran sekolah tiada tekanan air,” katanya.
Semua ahli keluarga mangsa termasuk isteri 32 tahun dan empat orang anak berusia sebulan hingga 11 tahun selamat dan menerima rawatan awal daripada pasukan EMRS dan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum mangsa yang melecur dihantar ke Hospital Kota Belud untuk pemeriksaan lanjut.
Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 7.13 pagi dan tamat sepenuhnya pada 10.55 pagi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Sabah Electricity Sdn Bhd, KKM serta Bomba Sukarela Pangkalan Abai.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.






