RANAU: Seorang lelaki berstatus pemastautin tetap ditahan polis selepas disyaki merogol anak kandungnya yang berusia 13 tahun di sebuah kediaman di daerah ini.
Suspek berusia 34 tahun itu telah ditahan baru-baru ini susulan laporan polis yang dibuat ibu saudara mangsa berhubung kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memasuki bilik tidur mangsa sebelum melakukan perbuatan tersebut tanpa kerelaannya.
Menurutnya, mangsa tinggal bersama bapa kandung dan ibu tirinya, namun kejadian dipercayai berlaku ketika ibu tirinya berada di Labuan.
“Susulan laporan yang diterima, pihak polis menahan suspek berusia 34 tahun untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
“Siasatan menyeluruh dan tegas akan dijalankan bagi memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan serta dikenakan hukuman setimpal,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mursalin berkata, pihaknya memandang serius jenayah seksual khususnya yang membabitkan kanak-kanak dan akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan menyalahi undang-undang demi keselamatan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah.
“Kerjasama masyarakat amat penting bagi membantu polis mengambil tindakan pencegahan dengan pantas dan berkesan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau di talian 088-875222.
Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.






