TAWAU: Seorang bayi perempuan ditemui orang awam yang dipercayai ditinggalkan di kawasan semak berhampiran rumah di Kampung Jawa, awal pagi tadi.
Bayi itu dijumpai oleh seorang lelaki kira-kira jam 6 pagi sebelum menghubungi ambulan untuk mendapatkan bantuan.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tawau untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan menerima rawatan lanjut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, pihaknya menerima dua laporan berkaitan kejadian itu dan kini sedang menjalankan siasatan bagi mengesan ibu kandung bayi berkenaan serta individu yang dipercayai meninggalkannya.
Beliau berkata, antara tindakan yang sedang diambil termasuk mengenal pasti saksi, meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian jika ada, selain membuat semakan dengan hospital dan klinik kesihatan bagi membantu siasatan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri di talian 016-918 9402 atau menyalurkannya ke balai polis berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang bertindak pantas menyelamatkan bayi itu dan mengingatkan masyarakat agar tidak menyebarkan khabar angin atau membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan polis.






