SANDAKAN: Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah mencadangkan pembinaan sebuah fasiliti pelupusan dadah dan bahan terlarang yang dirampas pihak berkuasa di negeri ini bagi mengurangkan kos logistik serta risiko keselamatan penghantaran ke Semenanjung Malaysia.
Pengerusinya, Datuk Masiung Banah berkata, pembinaan fasiliti berkenaan wajar dipertimbangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandangkan kuantiti rampasan dadah dan bahan kimia di Sabah yang besar setiap tahun.
Menurutnya, kemudahan itu membolehkan proses pelupusan dilaksanakan di Sabah tanpa perlu menghantar bahan rampasan ke fasiliti sedia ada di Negeri Sembilan.
“BBC melihat bahan terlarang yang dirampas pihak berkuasa termasuk dadah dan bahan kimia di Sabah mempunyai kuantiti yang besar dan ia satu pembaziran besar jika pelupusan terpaksa diangkut ke Semenanjung Malaysia.
“Jika KDN bersetuju, BBC bersedia memainkan peranan bersama kerajaan negeri berhubung penyediaan tapak tanah untuk cadangan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Pendidikan Daerah Telupid/Tongod di sebuah hotel di sini, hari ini.
Masiung berkata, rampasan bahan terlarang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menunjukkan keperluan mewujudkan fasiliti pelupusan setempat.
Katanya, penghantaran bahan rampasan merentasi laut bukan sahaja memerlukan kos pengangkutan khas dan kawalan keselamatan yang tinggi, malah berpotensi menimbulkan risiko terhadap integriti rantaian pengurusan serta pengangkutan.
Wakil rakyat Kuamut itu berkata, kedudukan strategik Sabah yang bersempadan dengan Filipina dan Indonesia turut menjadikan negeri ini antara laluan yang menarik perhatian sindiket penyeludupan dadah melalui jalan laut.
Sehubungan itu, beliau berpandangan pembinaan pusat pelupusan di Sabah mampu mengurangkan kos logistik, selain mempercepatkan proses pelupusan selepas mendapat perintah mahkamah.
“Penyimpanan dadah dalam kuantiti yang besar bagi tempoh yang lama di stor kontinjen Sabah boleh terdedah dengan risiko integriti yang tinggi dalam kalangan rantaian pengurusan.
“Dengan adanya pusat pelupusan di Sabah, bahan terlarang seperti dadah dan bahan kimia boleh dilupuskan dengan kadar segera sebaik sahaja mendapat perintah mahkamah,” katanya.
Masiung berkata, nilai rampasan dadah di Sabah yang mencecah jutaan ringgit hampir setiap bulan turut menjadi asas kepada cadangan pembinaan fasiliti berkenaan.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyampaikan sebuah kenderaan pacuan empat roda kepada Sekolah Kebangsaan Inarad, Tongod, sebagai kemudahan sokongan pentadbiran sekolah.
Kenderaan itu disumbangkan Borneo Cement Sabah Sdn Bhd menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat pengeluar klinker dan simen berkenaan yang kini dalam proses pembinaan.






