JOHOR BAHRU – Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dilaporkan telah meninggal dunia malam tadi.
Beliau menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.45 malam tadi di rumah anaknya, Nornekman di Damansara, Kuala Lumpur.
Allahyarham yang berusia 70 tahun merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas dan juga merupakan bekas Menteri Besar Johor ke-16.
Sebelum ini, Allahyarham dilaporkan menerima serangan angin ahmar pada pertengahan Oktober lalu ketika berada di kediamannya.
Pada awal November lalu, keadaan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Ayer Hitam itu dilaporkan stabil selepas dirawat di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), namun masih belum pulih sepenuhnya.
Menurut sumber, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke Johor untuk urusan pengebumian.