SEMPORNA: Angin politik di kawasan Kampung Labuan Senang, salah satu kampung dalam kerusi DUN Bugaya mula berubah arah.
Dari jalan utama hingga ke lorong kecil kampung itu, kibaran bendera Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenuhi pandangan mata setiap rumah, seolah-olah memberi isyarat siapa yang kini menguasai nadi politik kawasan berkenaan.
Hampir setiap rumah di kampung itu memasang sekurang-kurangnya satu bendera GRS. Belum kelihatan bendera parti lain seperti Parti Warisan dan BN.

Suasana ini turut berlaku di beberapa kampung lain dan ini memberi gambaran jelas bahawa jentera GRS sudah bergerak aktif lebih awal di peringkat akar umbi.
Bagi sebahagian penduduk, keadaan itu juga mencerminkan kekecewaan terhadap kepimpinan sedia ada.
“Dulu masa Warisan menang, kami harap banyak benda berubah. Tapi 22 bulan tiada apa pun nampak.
“Sekarang ni ramai rasa lega bila dapat Rumah SMJ daripada kerajaan negeri, sekurang-kurangnya ada hasil,” kata seorang penduduk yang tidak mahu dikenali, sambil membetulkan bendera GRS di hadapan rumahnya.

Seorang lagi penduduk yang enggan namanya disiarkan, menyuarakan rasa terkilan terhadap kehadiran wakil rakyat sedia ada.
“ADUN di sini jarang turun. Kalau ada orang meninggal baru nampak muka dan kenduri tahlil, itu pun sekejap saja,” katanya ringkas.
Mengikut daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), DUN Bugaya kini mempunyai 36,592 pengundi berdaftar, termasuk lebih 3,000 pengundi baharu.
Kerusi Bugaya disandang oleh Jamil Hamzah daripada Parti Warisan. Beliau memenangi Pilihan Raya Kecil Bugaya 2022 dengan majoriti 6,629 undi, memperoleh 11,382 undi berbanding calon BN, Abdul Aziz Mohd Ibno (4,753 undi). Sebelum itu, kerusi ini diwakili oleh Allahyarham Manis Muka Mohd Darah (Warisan) yang memenanginya pada 2018 dengan majoriti 7,851 undi.

Kini, antara nama yang disebut bakal mencabar Warisan ialah Datuk Maruda KK Ampong, Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bugaya. PGRS dilaporkan mempunyai 87 cawangan aktif di kawasan tersebut dan DUN Bugaya mempunyai sembilan Pusat Daerah Mengundi (PDM).
DUN Bugaya sebelum ini merupakan kubu kuat UMNO/BN, sebelum berpindah ke tangan Warisan pada 2018. Namun, dengan lambakan bendera GRS di kampung-kampung seperti Labuan Senang, ramai melihat tanda-tanda perubahan arus politik mula ketara.
“Kami bukan tak kenang jasa, tapi orang ramai pun penat dengan cakap-cakap politik. Kami mahu siapa yang boleh buat kerja,” ujar seorang lagi penduduk yang ditemui ringkas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November ini sebagai hari penamaan calon, disusuli 25 November pengundian awal dan 29 November hari mengundi biasa bagi Pilihan Raya Umum Sabah Ke-17 (PRU17).






