PUTRAJAYA: Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) memulakan libat urus dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan hala tuju serta mekanisme pelaksanaan cadangan penambahan bilangan kerusi Parlimen atau Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, beliau mengetuai BHESS dalam kunjungan hormat kepada Pengerusi SPR, Datuk Sri Ramlan Harun, di Ibu Pejabat SPR pada Selasa.
Menurutnya, pertemuan itu merupakan susulan kepada perkembangan di peringkat Kerajaan Persekutuan, termasuk Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 11 September lalu.
Mesyuarat berkenaan mengambil maklum bahawa perkara itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan terdapat kewajaran untuk meningkatkan kadar nisbah Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak, tertakluk kepada perbincangan lanjut bersama SPR.
“Pada masa ini, Sabah dan Sarawak mempunyai 56 kerusi atau 25.3 peratus daripada keseluruhan Dewan Rakyat. Cadangan yang dikemukakan adalah untuk menjadikan keseluruhannya kepada 35 peratus secara seimbang dengan kerusi di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan media di sini, pada Selasa.
Mustapha berkata, perbincangan bersama SPR memberi tumpuan kepada proses serta pertimbangan Perlembagaan, perundangan dan teknikal.
Ia termasuk aspek persempadanan bahagian pilihan raya, data yang diperlukan serta bentuk libat urus antara kerajaan, SPR dan pihak berkepentingan.
“Ini bukan semata-mata soal menambah kerusi. Ia berkaitan usaha memastikan kedudukan dan suara Sabah serta Sarawak dalam Parlimen terus diperkukuh selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia dan pelaksanaan MA63,” katanya.
Beliau berkata, BHESS akan terus bekerjasama dengan SPR supaya sebarang tindakan susulan dapat dilaksanakan secara teratur, berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang serta menghormati bidang kuasa SPR.






