
KOTA KINABALU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan yang telah menggajikan pendatang asing sebagai pekerja di posisi Pulau Mengalum lebih kurang pukul 5:00 petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata pemeriksaan ke atas bot tersebut menemui seramai 15 orang kru termasuk tekong yang disyaki warganegara Filipina.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas dokumen pengenalan diri mendapati hanya empat orang memiliki passport, manakala baki 11 orang kru mengemukakan dokumen yang meragukan.
“Pemeriksaan dokumentasi turut mendapati lesen bot berkenaan telah tamat tempoh. Selain itu, pemeriksaan juga mendapati bot berkenaan menggunakan senapang sedutan atau tempuling dan racun bagi tujuan tangkapan ikan,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Kesemua 15 orang, bot beserta hasil tangkapan disita dan ditahan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1959 serta Akta Perikanan 1985.