KOTA KINABALU, SABAH – Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam mengingatkan bahawa pentingnya bagi kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus memberi fokus kepada jalan penyelesaian atau ‘mengubati’ COVID-19 yang semakin menular daripada melayan politik mengarut.
Beliau berkata, perkara itu lebih wajar daripada membuang masa dan tenaga ke arah polemik “tukar kerajaan” yang cuba dimainkan beberapa pihak tertentu ketika ini.
“Yang pasti, sekarang bukan masa untuk bertukar kerajaan. Berapa yakinkah kita bahawa pandemik ini akan berhenti selepas pertukaran kerajaan berlaku?
“Mungkin keadaan akan semakin keruh…kita tidak mempunyai kepastian mengelilingi hal ini,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
ADUN Kundasang itu lagi berkata rakyat Sabah telah memberikan mandat kepada GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini dan kini tiba masa pucuk pimpinan kerajaan melaksanakan amanah tersebut.
“Berhentilah bermain politik dan fokus kepada menyelesaikan masalah COVID-19 yang melanda seluruh negara ini,” kata Dr Joachim yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS).
Menurutnya lagi, kerajaan GRS berada pada landasan yang terbaik untuk menarik pelabur luar dan tempatan ke Sabah.
Kelmarin, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, yang juga pengerusi GRS berkata kerajaan ini telah mencapai persetujuan untuk bekerjasama melangsungkan mandat yang telah diberi rakyat.