Cadangan Hab Kreatif Tawau Dalam Penelitian Kerajaan Negeri – Nizam

Cadangan Hab Kreatif Tawau Dalam Penelitian Kerajaan Negeri – Nizam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan meneliti cadangan penubuhan Hab Kreatif Tawau (Tawau C-Hub) sebagai pusat pembangunan bakat, penghasilan karya dan keusahawanan bagi memperkukuh ekosistem ekonomi kreatif di negeri ini.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, cadangan berkenaan merupakan antara inisiatif yang dikemukakan Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF SABAH) dalam usaha memperluas peluang ekonomi kepada penggiat industri kreatif tempatan.

Katanya, cadangan itu bertujuan mewujudkan ruang khusus bagi menyokong aktiviti penghasilan karya, pembangunan bakat, latihan, kolaborasi, keusahawanan serta pemasaran produk kreatif.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebarang keputusan mengenai pelaksanaan cadangan berkenaan perlu mengambil kira kesesuaian, keutamaan semasa, kemampuan kewangan serta proses kelulusan yang berkaitan.

“Pembangunan ekonomi kreatif memerlukan perancangan yang tersusun serta kerjasama antara kerajaan, persatuan, penggiat dan pihak swasta.

“Pandangan daripada penggiat penting bagi memahami keperluan sebenar sektor ini serta mengenal pasti ruang untuk bakat dan karya anak Sabah berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi KREATIF SABAH yang diketuai pengerusinya, Chester Pang, di pejabatnya di Wisma MUIS, di sini.

Dalam pertemuan itu, delegasi berkenaan mengemukakan dua kertas kerja cadangan iaitu penubuhan Tawau C-Hub dan penganjuran Townhall Penggiat Seni dan Kreatif Sabah.

Program townhall itu dicadangkan sebagai platform dialog antara penggiat industri dengan pihak berkepentingan bagi mengenal pasti cabaran, keperluan serta peluang pembangunan sektor seni dan kreatif negeri.

Nizam berkata, industri budaya dan kreatif mempunyai potensi besar untuk menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi baharu, khususnya melalui penghasilan kandungan digital, seni persembahan, perfileman, muzik dan pembangunan harta intelek.

Menurutnya, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024, industri berkenaan menyumbang RM130.7 bilion kepada ekonomi negara atau 6.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Eksport produk kreatif negara pula mencatatkan RM63 bilion, meningkat 12.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Angka ini membuktikan bahawa ekonomi kreatif bukan sekadar berkaitan seni dan hiburan, tetapi turut mempunyai nilai ekonomi yang besar, termasuk dalam menjana pendapatan, mewujudkan pekerjaan dan membuka peluang pasaran di peringkat nasional serta antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Chester turut membentangkan Memorandum Cadangan Tujuh Perkara Kreatif Sabah yang diluluskan pada Mesyuarat Agung Pertama KREATIF SABAH, Julai lalu.

Antara cadangan dikemukakan termasuk memperkukuh penyelarasan pentadbiran ekonomi kreatif di bawah satu kementerian, mewujudkan pusat sehenti, mengutamakan penglibatan artis tempatan dalam program rasmi kerajaan serta melibatkan penggiat industri dalam penggubalan dasar.

Mengulas perkara itu, Nizam berkata, semua pandangan dan cadangan berkenaan boleh dijadikan input dalam perancangan pembangunan ekonomi kreatif Sabah.

Beliau bagaimanapun menegaskan, aspek penyelarasan perlu diperhalusi dengan mengambil kira fungsi dan bidang kuasa agensi berkaitan, selain keutamaan program serta peruntukan yang tersedia.