KUALA LUMPUR – Filem terbaru arahan Osman Ali, Kau Yang Satu yang ditayangkan di pawagam lebih seminggu lalu, menjadi mangsa cetak rompak apabila dirakam menerusi Facebook Live.
Filem itu dipercayai disiar seorang penonton dari dalam dewan pawagam dan mendapat 200,000 tontonan serta dikongsi lebih 100,000 pengguna Facebook.
Osman berkata, dia menyedari hal itu Sabtu malam lalu dan sangat terkejut serta terkilan kerana filem itu baru sahaja 11 hari ditayangkan.
“Pihak penerbit Global Station dan Astro Shaw sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu awal pagi kelmarin,” katanya ketika dihubungi.
Kata Osman, walaupun pemilik rakaman sudah memohon maaf secara terbuka, tindakan tegas tetap diambil bagi mengelakkan kejadian berulang.
Pada masa ini, dia menantikan tindakan selanjutnya dari pihak yg bertanggung jawab dan bersyukur selepas perkara ini dibangkitkan ia mendapat respon yang begitu baik dari semua pihak yang menentang keras tindakan pihak terbabit hingga menjadi perbincangan di pihak atasan dan pihak menteri.
“Terkini saya mendapat tahu Finas, pemamer dan SKKM akan mengadakan pertemuan serius untuk membincangkan dan menangani hal ini.
“Saya menanti dan berharap setiap tindakan di masa depan lebih positif dan tegas dalam menangani isu jenayah siber terhadap perfileman tempatan ini,” katanya.
Filem Kau Yang Satu lakonan Aaron Aziz, Izara Aishah, Hisyam Hamid dan Soo Wincci ditayangkan sejak 27 Julai lalu.