TUARAN: Sukan Combat Archery diperkenalkan buat julung kali di Sabah menerusi pertandingan anjuran HARDY Adventure Team sempena Karnival Belia Tuaran 2026, baru-baru ini.
Pertandingan yang menarik penyertaan 12 pasukan itu disertai peserta dari sekitar Tuaran, Kota Kinababalu dan Tamparuli.
Penyelaras program, Nur Aleeya Farhana berkata, penganjuran itu bertujuan memperkenalkan sukan berkenaan kepada masyarakat, khususnya golongan belia, sebagai alternatif aktiviti rekreasi yang menggabungkan kemahiran memanah, ketangkasan fizikal dan strategi berkumpulan.
Menurutnya, Combat Archery berbeza daripada sukan memanah tradisional kerana peserta bukan sahaja perlu membidik sasaran, malah bergerak aktif, mengelak serangan anak panah dan merancang strategi bersama ahli pasukan.
“Combat Archery bukan sahaja menguji kemahiran memanah, malah memerlukan kerjasama, ketangkasan dan strategi yang baik dalam kalangan ahli pasukan.
“Kami berharap pengenalan sukan ini dapat menarik minat lebih ramai golongan belia untuk mencuba aktiviti baharu yang sihat dan mencabar,” katanya dalam kenyataan.

Pertandingan itu turut mendapat kunjungan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali yang hadir bersama pasukan HARDY untuk menyaksikan aksi peserta, selain mencuba sendiri sukan berkenaan.
Sementara itu, peserta pasukan Abi Waqqas yang juga pemanah profesional, Usman Yusof berkata, Combat Archery menawarkan pengalaman berbeza berbanding sukan memanah konvensional.
“Sukan ini sangat menarik, rasa seperti betul-betul berada dalam peperangan.
“Kami juga dapat belajar bekerjasama dalam kumpulan serta memperbaiki strategi taktikal dan ketahanan stamina bagi membentuk pasukan yang lebih mantap,” katanya.
Dalam pertandingan itu, pasukan CFM muncul juara, manakala Abi Waqqas menduduki tempat kedua dan Kampung Gayang di tempat ketiga.
Program berkenaan merupakan antara pengisian Karnival Belia Tuaran 2026 yang dirasmikan Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji, yang juga Pengerusi Bersama Karnival Tamu Belia Tuaran 2026.
Penganjuran itu diharap dapat menjadi platform memperkenalkan sukan baharu kepada masyarakat, selain mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat berpasukan dan mencungkil bakat baharu dalam sukan memanah di Sabah.






