COOPFEST Borneo Buka Peluang Koperasi Sabah, Sarawak Tembusi Pasaran Lebih Luas

COOPFEST Borneo Buka Peluang Koperasi Sabah, Sarawak Tembusi Pasaran Lebih Luas

0
SHARE

KOTA KINABALU: COOPFEST Borneo 2026 menjadi platform strategik memperluas jaringan perniagaan koperasi Sabah dan Sarawak, khususnya dalam sektor pertanian, makanan, pelancongan komuniti, kraftangan serta perkhidmatan.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, program itu bukan sekadar medan promosi produk, sebaliknya membuka peluang kerjasama pembekalan, perkongsian kepakaran dan peluasan pasaran antara koperasi kedua-dua negeri.

“Sabah dan Sarawak mempunyai kekuatan sumber tempatan, keunikan budaya dan potensi keusahawanan komuniti.

“Melalui COOPFEST Borneo, koperasi kedua-dua negeri berpeluang membangunkan pasaran Borneo sebagai ekosistem perniagaan yang saling melengkapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan COOPFEST Borneo 2026 di Suria Shopping Mall, di sini, pada Jumaat.

Ewon berkata, penganjuran julung kali itu menghimpunkan 30 koperasi dari Sabah dan Sarawak serta 10 usahawan TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), dengan sasaran kira-kira 2,000 pengunjung sepanjang tiga hari program.

Menurutnya, gerakan koperasi Sabah mempunyai potensi besar untuk berkembang apabila sebanyak 2,047 koperasi direkodkan sehingga Disember 2025, membabitkan 388,683 anggota, aset bernilai RM1.172 bilion dan perolehan RM913.33 juta.

“Perangkaan ini membuktikan kekuatan ekonomi koperasi Sabah dan asas yang tersedia untuk mengembangkan perniagaan.

“Namun, pertumbuhan aset dan perolehan mesti disokong pengurusan profesional, tadbir urus yang baik serta strategi pasaran berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Ewon berkata, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) terus memperkukuh sektor koperasi menerusi bantuan pembangunan, latihan dan peluasan pasaran.

Katanya, Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan MINDET berjumlah RM1 juta tahun ini turut diperluas kepada koperasi, dengan dua koperasi sudah menerima manfaat.

Beliau turut menggalakkan koperasi memanfaatkan Program Bantuan SME-UP melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) bagi mendapatkan bantuan mesin, peralatan, teknologi pemprosesan makanan, pendaftaran cap dagangan dan pensijilan halal.

Ewon berkata, kerjasama strategik antara MINDET, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta pemain industri penting bagi meningkatkan daya saing produk dan pendapatan anggota koperasi.