COVID-19: TUN SAKARAN KINI DIMASUKKAN DI ICU

COVID-19: TUN SAKARAN KINI DIMASUKKAN DI ICU

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Mantan Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah yang kelapan, Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Bin Dandai kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Gleneagles di sini kerana jangkitan COVID-19.

Anak lelakinya, Datuk Nasir Tun Sakaran dalam sebuah video yang tular melalui sebaran aplikasi WhatsApp hari ini mengesahkan perkara itu dan memberi sedikit perkembangan keadaan semasa kesihatan Tun Sakaran.

Menurutnya, Tun Sakaran sah dijangkiti COVID-19 sejak Rabu lalu, namun dimasukkan ke ICU pada kelmarin di atas saranan pakar kesihatan agar keadaannya dapat dikawal baik dan rapi.

“Keadaan beliau stabil dan kami anak-anaknya berhubung seperti biasa melalui panggilan video bagi menanyakan kesihatan beliau…

“Alhamdulilah maklum balas dari ayahanda Tun berada dalam keadaan baik dan makan pun terjaga serperti biasa.

“Baru sebentar tadi beliau memohon doa agar kesihatan beliau bertambah baik,” katanya.

Dalam pada masa yang sama, cucu Tun Sakaran iaitu Ahmad Marzuki Nasir yang juga Pengurus Pasukan Sabah FC turut mengumumkan berita itu pada satu hantaran di laman media sosial Facebook miliknya petang tadi.

“Assalamualaikum wbt. Mohon doakan kesembuhan buat Nenda Tun Sakaran Dandai yang sedang berada di ICU Gleneagles Hospital akibat jangkitan COVID-19…

“Semoga Allah SWT berikan kesembuhan kepada Sakaran bin Dandai seperti sedia kala, diangkat segala sakitnya dan diterima semua amal baiknya. Aamin Ya Allah Ya Mujib,” katanya.

Tun Sakaran, 91, juga merupakan bekas Ketua Menteri Sabah yang memerintah selama sepuluh bulan sejak tahun 1994.

Beliau tamat kerjaya sebagai Ahli Parlimen Semporna pada tahun yang berikutnya untuk menerima watikah pelantikan Yang di-Pertuan Agong sebagai Yang Dipertua Negeri (YDP) Sabah di mana beliau mentadbir selama lapan (8) tahun.