KOTA KINABALU, SABAH – Rakyat di Sabah turut bersedih kehilangan seorang pemimpin pragmatik di kala seluruh negara tertekan akibat wabak COVID-19 ketika ini.
Ini kerana sebelum meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) telah berjaya mengemudi nasib rakyat dengan menjaga baik kebajikan rakyat sehingga ramai netizen menggelar beliau sebagai ‘Bapa Kebajikan’.

Meskipun amanah yang digalas beliau bukanlah sesuatu yang ringan, lebih-lebih lagi pada waktu COVID-19 mula mengganas terhadap negara namun tugasnya dilaksanakan dengan penuh fokus dalam membantu kesejahteraan rakyat dan bukannya berpolitik semata-mata.
Sikap tenang dan rendah diri beliau tidak melayani karenah politik tetapi sebaliknya meletakkan segala usaha kepada kesejahteraan rakyat dalam masa singkat menggalas tugas berat menyelesaikan wabak yang melumpuhkan sedunia akan disanjungi sebagai sifat seorang pemimpin tulen.

Imbas kembali kepada angka kes positif COVID-19 di Sabah yang mula mencanak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun 2020 berjaya dikawal dengan pengaturan beberapa langkah bijak oleh beliau.
Dari populasi keseluruhan hampir 4 juta rakyat Sabah, kadar kematian dapat dibendung ke jumlah kumulatif 791 individu setakat ini.
Hasil ini dari tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak digemari tetapi sesuatu yang wajar bagi memanjangkan nyawa rakyat.
Dalam tempoh itu pula, bantuan tunai terus diagihkan bagi seluruh rakyat di Malaysia dan tidak ketinggalan negeri Sabah melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang bernilai hingga RM150 bilion.

Bantuan tersebut adalah sebagai perangsangan kepada ekonomi negara yang lumpuh disamping melegakan golongan berpendapatan rendah dan pekerja-pekerja sektor yang teruk terjejas akibat pandemik.
Sebahagian daripada senarai panjang bantuan ini termasuklah Bantuan Sara Hidup, Skim mySalam, Program Rebat Elektrik, Skim Peduli Kesihatan, (i-SURI), Geran Khas Prihatin, Bantuan Awal Persekolahan dan bermacam lagi.
Pakej-pakej rangsangan pula yang terdiri dari PERMAI, PEMERKASA, PEMERKASA+ dan pakej terkini PEMULIH telah banyak meringankan bahu rakyat yang terbeban kerana terjejas akibat COVID-19 yang terus menyerang di negara ini.

Dalam pada itu, beliau turut memahami keperluan negara bergerak maju selaras dengan peredaran teknologi semasa.
Masalah kelajuan internet di pusat bandar dan liputan terutamanya di kawasan pedalaman Sabah turut mendapat perhatian kerajaan persekutuan pada ketika itu.
Initiatif JENDELA menjadikan Sabah penerima terbesar dengan pembinaan peranti-peranti telekomunikasi seluruh negeri bernilai RM2.45 billion.

Melalui ini, sejumlah 419 menara baharu sedang dibina dan 1,972 pemancar sedia ada dinaik taraf kepada rangkaian 4G.
Di samping itu, liputan talian tetap gentian optik akan diperluaskan yang membabitkan 251,166 premis seluruh Sabah.
Matlamat beliau adalah turut memperhalusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi melahirkan generasi baharu Sabah yang berkelayakan tinggi.
Seluruh rakyat Malaysia khususnya di Sabah kini juga boleh melihat ‘cahaya di hujung terowong’ untuk keluar dari cengkaman virus dengan keberkesanan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Potensi PICK telah dipercepatkan lagi sehinggalah negara dapat menjangka imuniti kelompok (herd immunity) rakyat menjelang Oktober ini dan memberi harapan hidup kembali seperti dahulu.
Bekalan 87 juta dos vaksin bernilai lebih RM 4 billion yang berjaya diperolehi itu lebih dari mencukupi bagi seluruh populasi Malaysia dan turut dinikmati golongan bukan warganegara.
Keupayaan Muhyiddin, 72, seharusnya dipuji kerana dapat memperolehi vaksin sewaktu negara-negara asing berlumba mendapatkan bekalan bagi kegunaan sendiri.
Melihat kepada negara barat, meskipun maju mencapai imuniti kelompok lebih awal, masih behadapan cengkaman COVID-19 dengan varian baharunya. Jika ini yang dikatakan sebagai “KERAJAAN GAGAL”, maka kerajaan-kerajaan negara seluruh dunia telah turut gagal.