SEMPORNA: Polis Daerah Semporna menahan dua lelaki atas kesalahan mencuri dalam dua kejadian berasingan yang berlaku pada 12 Februari lalu di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Polis Tan Hiap Wah berkata, kejadian pertama berlaku di kawasan Hospital Semporna apabila seorang wanita menyedari dompetnya yang mengandungi wang tunai RM200 hilang daripada beg tangan yang ditinggalkan di dalam kenderaan.
Menurut beliau, suspek pada awalnya membantu petugas hospital mengangkat suami mangsa yang tidak sedarkan diri sebelum mengambil kesempatan mencuri wang daripada beg tangan mangsa ketika wanita itu sibuk menguruskan pendaftaran.
“Perbuatan suspek berjaya dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan lelaki tersebut berjaya ditahan kira-kira jam 4 petang dengan bantuan orang awam,” katanya.
Dalam kejadian berasingan pada hari sama, sepasukan anggota MPV yang menjalankan rondaan cegah jenayah di Kampung Tonggulangan menahan sebuah Proton Iswara yang dipandu lelaki berusia 45 tahun dalam keadaan mencurigakan.
Pemeriksaan mendapati beberapa tandan buah sawit sedang diturunkan di hadapan sebuah rumah dan suspek mengaku mencurinya dari kebun berhampiran.
Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tan Hiap Wah menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan jenayah harta benda walaupun melibatkan nilai kecil, selain menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras jenayah di daerah ini.






