PUTRAJAYA – Dua pembantu tadbir Jabatan Audit Negara dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 235 pertuduhan kerana mencuri tambah nilai Touch n’ Go berjumlah RM17,813 sejak Disember 2016 hingga April lalu.
Memetik laporan BH Online, tertuduh pertama, Normaidzatulaqma Iskandar, 37, yang berdepan dengan 69 pertuduhan, didapati melakukan kesalahan itu pada 5 Disember 2016 hingga 24 April tahun ini di Aras 2, Cawangan Pentadbiran Sektor Pengurusan JAN, Presint 2, Putrajaya.
Tertuduh kedua pula, Farizah Nekmat, 37, berdepan 166 pertuduhan yang sama dilakukan pada 2 Februari hingga 24 April tahun ini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati melakukan kesalahan itu pada waktu pejabat dan luar waktu pejabat, selain pada hari minggu dan cuti umum pada waktu awal pagi hingga lewat tengah malam di pejabat berkenaan.
Mereka didapati memasukkan wang antara RM1 hingga RM100, masing-masing menggunakan tujuh keping kad Touch n’ Go menerusi pos terminal tambah nilai.
Berikutan itu, mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun dan denda, dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dipenjara dan didenda atau disebat.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, mengaku tidak bersalah dan mohon supaya dibicarakan.
Majistret Azizah Ahmad, kemudian menetapkan Normaidzatulaqma dikenakan wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat pada setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai selain menyerahkan pasport.
Farizah pula dikenakan wang jaminan sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat pada setiap 1 haribulan sehingga kes selesai selain menyerahkan pasport.
Azizah turut menetapkan kes berkenaan disebut semula pada 5 Disember, dan akan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan.
Terdahulu, Muhammad Izzat memohon mahkamah mengenakan wang jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh bagi menjamin kehadiran tertuduh di mahkamah.
Sementara itu, tertuduh pertama, Normaidzatulaqma dalam rayuannya berkata, dia memohon kepada mahkamah mengenakan satu jaminan untuk semua pertuduhan kerana terpaksa menjaga tiga anak dan ibunya yang tinggal bersama.
Dalam pada itu, Farizah, yang juga ibu tunggal, meminta mahkamah turut mengenakan satu jaminan bagi kesemua pertuduhan kerana terpaksa menanggung empat anak berusia antara 8 hingga 18 tahun yang masih bersekolah selain menjaga ibunya yang sudah pencen serta menanggung hutang bekas suami.