SEPANG: Penumpang AirAsia dinasihatkan tiba sekurang-kurangnya dua jam sebelum penerbangan domestik dan tiga jam bagi penerbangan antarabangsa susulan jangkaan peningkatan jumlah pengembara serta kesesakan di lapangan terbang sempena cuti panjang Deepavali.
AirAsia dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, peningkatan trafik penumpang dijangka menyebabkan tempoh menunggu lebih lama di kaunter daftar masuk, pemeriksaan keselamatan dan imigresen.
Menurutnya, penumpang perlu mengambil perhatian bahawa kaunter daftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) ditutup sejam sebelum waktu pelepasan, manakala bagi penerbangan domestik di lapangan terbang lain di Malaysia, kaunter ditutup 45 minit sebelum berlepas.
“Penumpang digalakkan menggunakan aplikasi AirAsia MOVE untuk mendapatkan maklumat penerbangan terkini, melakukan daftar masuk secara dalam talian serta menggunakan kiosk layan diri bagi urusan bagasi.
“Penumpang juga boleh menambah had bagasi sehingga empat jam sebelum penerbangan melalui aplikasi berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Bagi penerbangan antarabangsa, AirAsia mengingatkan penumpang supaya memastikan dokumen perjalanan termasuk visa memenuhi syarat kemasukan negara destinasi dan transit.
Syarikat penerbangan itu turut memperkenalkan kemudahan Semakan Visa Automatik (AVC) yang membolehkan pengesahan dokumen perjalanan secara dalam talian bagi memudahkan proses daftar masuk.
Sementara itu, penumpang diingatkan bahawa jumlah berat keseluruhan bagasi kabin dan beg kecil yang dibenarkan tidak boleh melebihi tujuh kilogram.
AirAsia turut menggalakkan penggunaan pas masuk elektronik serta aplikasi MyNIISe atau MyBorderPass bagi mempercepat urusan perjalanan dan pelepasan imigresen.






