DAP Sokong Penuh Hajiji Menjaga Kepentingan Masyarakat Cina Sabah

DAP Sokong Penuh Hajiji Menjaga Kepentingan Masyarakat Cina Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin memuji langkah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang mengumumkan tiga komitmen bermakna kepada masyarakat Cina Sabah.

Katanya, ia menggambarkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap sumbangan besar komuniti tersebut.

Chan berkata beliau sendiri hadir pada Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri bersama Masyarakat Cina, Pertubuhan Pendidikan dan Agama Bukan Islam yang turut dihadiri pemimpin DAP Sabah lain.

Beliau menyaksikan penyerahan peruntukan kerajaan negeri kepada sekolah vernakular serta badan keagamaan bukan Islam.

“Pengumuman Ketua Menteri amat tepat pada masanya dan menunjukkan cadangan yang dibawa oleh masyarakat Cina Sabah diambil serius. 

“Ia bukan sekadar simbol keharmonian dan kesaksamaan di Sabah, tetapi juga mesej penting kepada politik nasional,” katanya.

Beliau menyambut baik keputusan kerajaan negeri mengiktiraf Sijil UEC, yang membolehkan pemegangnya melanjutkan pengajian di universiti negeri serta memohon biasiswa kerajaan Sabah.

Selain itu, Chan menegaskan peruntukan tahunan untuk sekolah vernakular dan organisasi bukan Islam kini meningkat berganda.

“Pada 2013, jumlahnya hanya RM32 juta. Tahun ini ia sudah melebihi dua kali ganda dan pada tahun depan akan ditambah lagi sehingga RM90 juta iaitu tiga kali ganda dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Beliau turut memuji janji Hajiji untuk melantik seorang pemimpin Cina sebagai Timbalan Ketua Menteri, yang akan mengembalikan tradisi representasi semua kaum dalam kabinet Sabah selepas terhenti sejak lima tahun lalu.

“DAP Sabah menyokong penuh agenda kesaksamaan ini. Saya bangga dengan kemajuan yang dicapai bersama kerajaan negeri,” ujar Chan.