KOTA KINABALU: Kekurangan dan ketidaktersediaan data alam sekitar secara menyeluruh menjadi antara cabaran dalam penyediaan Laporan Petunjuk Alam Sekitar Sabah 2025, sekali gus menuntut penyelarasan maklumat yang lebih berkesan antara agensi berkaitan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, kekangan itu menunjukkan keperluan memperkukuh pengurusan data bagi menyokong perancangan dan pemantauan alam sekitar negeri.
“Saya difahamkan bahawa pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan kelengkapan maklumat dalam penyediaan laporan ini namun masih terdapat beberapa kekangan disebabkan oleh kekurangan atau ketidaktersediaan data secara keseluruhannya.
“Cabaran ini jelas menunjukkan keperluan untuk membangunkan data-data alam sekitar dengan teratur dan memperkukuh penyelarasan data antara agensi agar dapat menyokong perancangan dan pemantauan alam sekitar dengan lebih menyeluruh dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Sabah 2026 di The Palace Hotel, di sini, pada Khamis.
Jafry berkata, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) melancarkan Laporan Petunjuk Alam Sekitar Sabah 2025 yang memberikan gambaran berasaskan data mengenai keadaan semasa alam sekitar negeri.
Menurutnya, laporan itu merangkumi lima tema utama iaitu guna tanah, udara, kualiti air, biodiversiti dan dimensi sosial.
Katanya, laporan berkenaan turut mengetengahkan tren, cabaran serta tindakan penyelesaian berdasarkan pematuhan standard yang ditetapkan sebagai rujukan dalam pemantauan, perancangan dan pembuatan keputusan strategik.
Beliau berkata, laporan pertama diterbitkan pada 2003, manakala edisi terbaharu dihasilkan menerusi kajian yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Dalam pada itu, Jafry menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan perlindungan alam sekitar dan pembangunan sosioekonomi dilaksanakan secara seimbang demi kelestarian sumber asli Sabah.






