KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus menzahirkan komitmennya terhadap pemeliharaan warisan, perlindungan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti menerusi penganjuran program “Atkinson Clock Tower: A Timeless Commitment – Heritage and Environmental Preservation” bersama Miss World 2025, Miss Opal Suchata dan Miss World Malaysia 2025, Miss Taanusiya Chetty di Menara Jam Atkinson, di sini, baru-baru ini.
Program berkenaan disempurnakan oleh Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Dato’ Sri Dr. Sabin Samitah dan turut dihadiri Pengerusi PUSPANITA Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu, Datin Sri Adreen Aderizza Mohamad Soffi, Ketua Pengarah DBKK Datuk Sr. Lifred Wong, barisan pengurusan tertinggi DBKK serta delegasi Miss World Organization.
Menurut kenyataan DBKK, penganjuran program itu mencerminkan usaha berterusan pihaknya bersama rakan strategik dalam memperkukuh kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan warisan sejarah, penjagaan alam sekitar dan pembangunan komuniti secara seimbang.
“Program ini selari dengan aspirasi menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya mampan dan berdaya huni. Lawatan ini juga merupakan kali ketiga Miss World Organization ke Kota Kinabalu, sekali gus memperkukuh hubungan kerjasama yang telah terjalin,” menurut kenyataan itu.
Menara Jam Atkinson yang dibina pada tahun 1905 merupakan antara struktur tertua yang masih berdiri di bandar raya ini dan menjadi simbol penting sejarah serta identiti Kota Kinabalu. DBKK menegaskan pemeliharaan mercu tanda ikonik itu membuktikan komitmen berterusan dalam mengekalkan nilai sejarah dan warisan untuk generasi akan datang.
Sebagai simbol kelestarian alam, program tersebut turut diserikan dengan aktiviti penyiraman pokok yang akan terus dipelihara di Taman Botani Tun Fuad Stephens, Sabah, sebagai usaha berterusan memupuk kesedaran terhadap kepentingan biodiversiti dan penjagaan alam sekitar.
DBKK menegaskan bahawa pihaknya akan terus komited memperkukuh usaha pemeliharaan warisan, perlindungan alam sekitar dan pembangunan komuniti secara inklusif demi kesejahteraan bandar raya serta generasi masa kini dan akan datang.






