Dr. Fatimah Anak Sabah Terima Anugerah Inspirasi Kecemerlangan OKU UiTM 2025 Peringkat...

Dr. Fatimah Anak Sabah Terima Anugerah Inspirasi Kecemerlangan OKU UiTM 2025 Peringkat Kebangsaan

0
SHARE

SHAH ALAM: Dr. Hajah Fatimah Sabrina Moahmmad, anak kelahiran Sabah yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal sejak 2015, menerima Anugerah Inspirasi Kecemerlangan OKU Nusa UiTM (AIKON) 2025 peringkat kebangsaan sempena Majlis Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Universiti Teknologi MARA (UiTM) di AEON Hall, AEON Mall Shah Alam, hari ini.

Majlis anjuran Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU UiTM itu bertemakan “Masyarakat Inklusif OKU, Kunci Kemajuan Sosial” dan telah dirasmikan oleh Naib Canselor UiTM, YBhg Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan ekosistem sokongan menyeluruh di institusi pengajian tinggi bagi melahirkan warga OKU yang berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Dr. Fatimah Sabrina yang juga seorang doktor perubatan, penjawat awam dan pelajar PhD di Universiti Malaysia Sabah (UMS), dikenali sebagai tokoh OKU yang aktif menggerakkan pelbagai inisiatif berimpak tinggi merentas sektor.

Beliau pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Pascasiswazah UiTM dan kini giat terlibat dalam program kesihatan komuniti, advokasi hak OKU di peringkat dasar, penyertaan forum nasional serta kerjasama strategik antara agensi kerajaan, universiti dan pertubuhan.

Selain itu, beliau turut memegang jawatan Presiden Persatuan Alzheimer Sabah yang memberi tumpuan kepada sokongan pesakit dan penjaga Alzheimer, serta Timbalan Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional Malaysia yang memperjuangkan kepimpinan wanita dan keterangkuman sosial.

Penglibatan aktif beliau telah menyumbang kepada peningkatan kesedaran awam serta memperluas peluang penyertaan golongan OKU dan kumpulan rentan dalam pembangunan negara.

Mengulas pengiktirafan tersebut, Dr. Fatimah Sabrina berkata, anugerah berkenaan diharap dapat menjadi sumber inspirasi kepada komuniti OKU, di samping menegaskan bahawa setiap individu mempunyai nilai dan potensi tersendiri apabila diberikan peluang serta sokongan yang adil dan inklusif.

Anugerah AIKON merupakan pengiktirafan terhadap pencapaian, ketekunan dan sumbangan inspiratif warga OKU, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam mempromosikan keterangkuman sosial dan keadilan dalam pendidikan serta pembangunan insan di peringkat kebangsaan.