JOHOR BAHRU – Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim, Nurul Hizam Zakaria memaklumkan dalam tahun ini sahaja, DUA (2) anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri itu telah meninggal dunia akibat positif COVID-19.
Menurutnya, dua anggota yang meninggal dunia itu ialah Bintara Muda Maritim (M) Mohamad Poudzi Aziz dan Pegawai Waran II Maritim (M) Muhamat Nazri Othman.
Katanya lagi, Mohamad Poudzi meninggal dunia pada 17 September lalu manakala Muhamat Nazri meninggal dunia pada 16 Ogos lalu.
Beliau yang dipetik BH Online turut berkata bahawa kedua-dua anggota berusia 55 tahun dijangkiti COVID-19 ketika melakukan tugasan operasi.
“Mohamad Poudzi berkhidmat selama 16 tahun manakala Muhamat Nazri berkhidmat selama 15 tahun…
“Sejak pandemik COVID-19 menular, seramai 120 anggota Maritim Malaysia Johor disahkan positif, tidak termasuk ahli keluarga mereka, manakala 360 anggota dikuarantin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Johor, semalam.