SEMPORNA: Dua beradik perempuan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah mereka di Kampung Balimbang, Pulau Bum Bum di sini pada 14 Mac lalu.
Polis Daerah Semporna dalam satu hebahan orang hilang semalam memaklumkan, mangsa dikenali sebagai Sharifah Najihah Hasan, 32, dan adiknya, Sharifah Sajilah Abdullah, 16.
Menurut laporan, kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Balimbang Berjasa Pulau Bum Bum itu keluar dari rumah kira-kira jam 10 pagi dengan tujuan ke bandar Tawau bagi membeli barangan keperluan Hari Raya.
“Pengadu, Sharifah Syakila Abdullah memaklumkan bahawa ketika berada di kediamannya, beliau mendapati ibu (OH1) dan kakaknya (OH2) telah keluar rumah tanpa memaklumkan kepada ahli keluarga lain.
“Kedua-duanya dipercayai menuju ke Tawau untuk membeli keperluan Hari Raya, namun sehingga kini belum pulang dan tidak dapat dihubungi,” menurut kenyataan itu.
Difahamkan, Sharifah Najihah ketika keluar rumah memakai baju kemeja wanita merah dan skirt hitam, manakala Sharifah Sajilah memakai t-shirt lengan panjang berwarna putih serta seluar slack berwarna kelabu.
Kedua-dua mangsa juga dilaporkan tidak bertudung ketika kali terakhir dilihat.
Sehubungan itu, laporan polis telah dibuat dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua mangsa diminta tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes, Mohamad Yazid bin Abd Rahman di talian 019-8835374.
Kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi membantu mengesan kedua-dua mangsa.






