Dua Pemandu Lori Ditahan Susulan Rakaman Pemanduan Berbahaya Tular di Tawau

Dua Pemandu Lori Ditahan Susulan Rakaman Pemanduan Berbahaya Tular di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Dua pemandu lori ditahan polis bagi membantu siasatan selepas rakaman kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan aksi pemanduan berbahaya di Jalan Apas, laluan Semporna-Tawau, tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 29 Ogos lalu kira-kira jam 3.52 petang ketika sebuah lori Isuzu dalam perjalanan dari Semporna menuju Tawau.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah lagi lori Isuzu dipercayai memotong beberapa kenderaan secara berbahaya sehingga hampir melanggar sebuah motosikal.

“Rakaman kejadian berkenaan kemudiannya tular di media sosial pada 17 September 2026 sebelum laporan polis dibuat pada jam 9.58 malam.

“Susulan laporan tersebut, kedua-dua pemandu lori berkenaan ditahan pada hari sama kira-kira jam 11.10 malam bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosdi berkata, pemeriksaan saringan air kencing terhadap kedua-dua pemandu turut dijalankan dan kedua-duanya didapati negatif dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.

Dalam pada itu, polis sedang berusaha mengesan pemilik akaun Facebook yang memuat naik rakaman berkenaan bagi membantu siasatan.

“Polis Daerah Tawau memandang serius sebarang tindakan memandu secara melulu dan berbahaya yang boleh mengancam nyawa serta keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Semua pengguna jalan raya, khususnya pemandu kenderaan berat, dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengamalkan pemanduan berhemah dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Tawau, Sarjan Razlan Razan di talian 019-823 4484.