TAWAU: Dua remaja lelaki ditahan selepas didapati dalam keadaan mencurigakan membawa satu karung guni berisi wayar elektrik di kawasan tepi Jalan Taman Home Luck, Jalan Kuhara, Tawau, pada petang Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek warga asing berusia 12 dan 17 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau, kira-kira jam 4.00 petang.
“Hasil pemeriksaan, kedua-dua suspek gagal memberikan keterangan berkenaan sejumlah wayar elektrik yang dibawa mereka. Selain itu, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, pada Selasa lalu.
Menurut ACP Jasmin, suspek ditahan bersama barang rampasan dan di bawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 22A (1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kes dalam siasatan dan pihak polis sedang mengenal pasti sumber barang ini diperoleh serta menyeru orang ramai agar segera melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan berkaitan kecurian infrastruktur awam bagi mengelakkan kerugian kepada pemilik premis serta risiko keselamatan di tempat itu,” tambahnya.
Jelasnya, Polis Daerah Tawau terus komited dalam membanteras jenayah dan dadah dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara.