PUTRAJAYA – Kedua-dua Timbalan Perdana Menteri (TPM) dipertanggungjawabkan dengan dua tugas besar iaitu masing-masing untuk mempersiapkan negara berdepan bencana banjir dan memastikan semua terma dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diselesaikan.
Memetik sumber Berita Harian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ketika ini negara sedang bersiap sedia menghadapi bencana banjir, terutama unjuran Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) yang meramalkan keadaan cuaca lebih buruk pada masa mendatang.
“Susulan itu, TPM Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mempengerusikan pengurusan bencana dan langkah segera untuk menghadapi (banjir), memantau serta membuat persiapan…
“TPM Datuk Seri Fadillah Yusof pula diberikan tugas untuk memastikan semua perkara yang masih tersangkut dalam MA63 disegerakan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.
Selain Ahmad Zahid dan Fadillah, turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Perdana Menteri berkata, kebanyakan terma MA63 sudah dapat diselesaikan tetapi beberapa isu masih menimbulkan keresahan dalam kalangan pemimpin di Sarawak dan Sabah.
Justeru, beliau berkata, Fadillah diberi tempoh sebulan supaya penyelesaian ketara dapat dicapai dalam menangani isu ditimbulkan.