
KUDAT, SABAH ; Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menahan sebuah bot bersama dua individu dipercayai menjalankan kegiatan penyeludupan minyak petrol di perairan Kudat, lebih kurang pukul 4 pagi, Isnin lepas.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bot ronda Zon Maritim Kudat yang pada ketika itu sedang menjalankan rondaan OP TIRIS di sekitar kawasan perairan Kudat telah berjaya mengesan bot suspek di posisi kira-kira empat batu nautika timur laut Pulau Kankamat, hasil daripada maklumat perisikan yang diterima.
“Melalui pemeriksaan yang dilakukan, dua individu didapati berada di dalam bot berkenaan merupakan warga Filipina berumur 19 dan 51 tahun.
“Setelah pemeriksaan lanjut dilakukan, kedua-dua individu terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan lanjut juga turut menemui sejumlah 12 tong berwarna biru berisi minyak petrol tanpa sebarang permit yang sah disyaki cuba diseludup ke negara jiran,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Maurice berkata suspek bersama bot dan barang rampasan seterusnya ditahan untuk siasatan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan lebih kurang RM15,000. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63,” tambahnya.