Empat Suspek Ditahan Susulan Pusat Hiburan Dibaling Bom Petrol

Empat Suspek Ditahan Susulan Pusat Hiburan Dibaling Bom Petrol

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua suspek iaitu lelaki hari ini susulan kes kejadian pusat hiburan dibaling bom petrol di Jalan Yap Kwan Seng, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, setakat ini pihaknya telah menahan empat suspek berusia 25 hingga 28 tahun. 

“Dua tangkapan baru telah dilakukan pada awal pagi tadi menjadikan keseluruhan tangkapan seramai empat orang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.

“Kesemua tangkapan direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Selasa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihaknya masih menyiasat motif suspek membaling bom petrol pada pusat hiburan berkenaan.

Terdahulu, tular di media sosial satu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan empat individu menaiki motosikal membaling bom petrol di hadapan pusat hiburan tersebut.

Susulan kejadian itu, polis berjaya menahan dua lelaki berusia 25 tahun semalam bagi membantu siasatan.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.