Fadzley Juara Bintang Soromas 2024

Fadzley Juara Bintang Soromas 2024

0
SHARE
Bajau
Fadzley (dua dari kanan) menerima cek cura daripada Norsiah (kiri) sambil disaksikan Jumat (dua dari kiri) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TUARAN, SABAH – Dendangan lagu “Mekar Sumping Ngintam Ku” mengangkat Mohd Fadzley Izzani Lamsin, 23, sebagai Juara Bintang Soromas 2024.

Nyanyian jejaka yang berasal dari Kampung Taun Gusi Padang, Kota Belud itu menewaskan tujuh finalis lain yang turut berentap dalam pertandingan peringkat akhir yang diadakan di Pentas Terbuka Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, pada Ahad.

Hanya mengambil masa selama dua minggu untuk membuat persiapan, Fadzley membawa pulang hadiah RM3,500, trofi, hadiah iringan serta kontrak rakaman yang disampaikan oleh Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajausama Sabah, Datuk Jumat Idris.

Sementara itu, Mizal Zairy Yusry atau lebih dikenali sebagai Mejjo yang mewakili daerah Keningau berjaya menduduki naib juara melalui lagu berjudul “Seliuh”.

Mejjo yang berasal dari Kampung Ayangan Keningau menangi hadiah RM2,500, trofi dan hadiah iringan.

Tempat ketiga pula, disandang oleh Mohd Raizzadil Jamree dari Kg. Rugading Tuaran yang menyanyikan lagu bertajuk “Juduh Nia Kesampaian” dan menerima RM1,500, trofi serta hadiah iringan.

Terdahulu, Jumat dalam ucapan perasmiannya berkata penganjuran pertandingan berkenaan bertujuan untuk menggalakkan anak-anak muda Bajausama terus berkarya dalam bidang seni suara.

Beliau menambah, Persatuan Rumpun Bajausama Sabah akan sentiasa menyediakan platform ataupun ruang dan peluang kepada generasi muda khususnya peminat seni suara melalui pelbagai program yang dianjurkan dari masa ke masa. — JABATAN PENERANGAN SABAH