CHINA – Seorang ‘gamer’ dan ‘streamer’ berasal dari China yang dikenali dengan nama samaran Fat Cat tular di laman media sosial apabila mendiang dilaporkan menamatkan hayat diri dengan cara melompat dari jambatan Sungai Yangtzez Chongqing pada 11 April kerana kemelut percintaan dengan teman wanitanya, Tan Zhu, 27.
Memetik sumber portal BIZoom, Tan membuat keputusan untuk memutuskan hubungan mereka selepas dua tahun bercinta.
Fat Cat yang telah melakukan banyak pengorbanan tidak dapat menerima hakikat itu sehingga menanggung kekecewaan dan akhirnya menamatkan hayatnya sendiri.
Walaupun jarak usia mereka agak jauh, Fat Cat di usia yang masih muda sanggup bekerja keras sehari-hari dan ikat perut semata-mata untuk memberikan duit saraan kepada Tan.
Ia merangkumi kos bil bulanan, membuka perniagaan serta duit untuk pergi melancong. Sementara teman wanitanya mampu membeli hidangan enak dan mahal, Fat Cat berterusan makan lauk sayur murah walaupun dia tidak menggemarinya.
Sewaktu bercinta dengan Tan, Fat Cat berhempas kerja selama 15 jam sehari. Semua pendapatan diberikan kepada Tan Zhu sebagai ‘hadiah’ agar wanita itu boleh pergi melancong, membeli belah dan membeli makanan sedap.
Walau bagaimanapun, segala kebaikan yang ditunjukkan berakhir sia-sia apabila Tan mula berubah sikap sebulan sebelum mereka mendaftarkan perkahwinan.
Meskipun sudah cuba dipujuk dan memperbaiki hubungan, Tan nekad dengan keputusan mahu berpisah.
Selain mengirimkan hadiah dan wang sejam sebelum melompat ke dalam sungai, Fat Cat telah melakukan transaksi terakhir kepada Tan bernilai kira-kira RM43,700+.
Mendiang turut mengirimkan 760 kuntum bunga kepada wanita terbabit sebagai simbolik tempoh percintaan mereka yang terjalin selama 760 hari.
Tan turut dilaporkan telah melakukan permohonan maaf secara terbuka atas pemergian Fat Cat
Saat dihubungi, Tan Zhu mengelak untuk bersemuka dan berkata akan membayar semua ganti rugi kepada keluarga mendiang.