KOTA KINABALU, SABAH – Malaysia Airlines dan AirAsia kini memperkenalkan garis panduan baharu bagi pengisian nama penumpang semasa membuat tempahan tiket bagi mengelak kekeliruan serta masalah ketika daftar masuk di lapangan terbang.
Langkah itu dilihat sebagai usaha untuk menangani isu yang sering dihadapi penumpang, terutamanya dari Asia Tenggara, yang mempunyai struktur nama berbeza berbanding format Barat seperti ‘nama pertama’ dan ‘nama keluarga’.
Selama ini, ramai penumpang yang menggunakan nama tunggal atau nama gabungan mengalami kesukaran apabila nama mereka tidak diterima sistem tempahan dengan tepat.
Berdasarkan garis panduan baharu ini, penumpang yang hanya mempunyai satu nama (mononim) dikehendaki mengisi nama yang sama dalam kedua-dua ruangan “First Name” dan “Last Name”.
Bagi penumpang dengan nama gabungan, mereka perlu memastikan ejaan dan susunan nama adalah sama seperti yang tertera dalam pasport atau dokumen perjalanan rasmi.

Selain itu, penggunaan simbol khas seperti tanda sengkang, aksara bukan abjad, atau karakter khas lain adalah tidak dibenarkan kerana boleh menyebabkan sistem menolak tempahan atau menimbulkan masalah semasa daftar masuk.
Malaysia Airlines turut memaklumkan bahawa tempahan yang telah dibuat sebelum pengenalan garis panduan ini tidak akan terjejas.
Langkah itu dijangka memudahkan urusan daftar masuk serta mengelakkan masalah teknikal yang boleh menghalang penumpang daripada menaiki pesawat.
Ia juga dilihat sebagai penyesuaian penting dalam sistem tempahan bagi menghormati kepelbagaian budaya dan struktur nama dalam kalangan rakyat Malaysia dan negara serantau.
Penumpang disarankan untuk menyemak semula nama mereka sebelum mengesahkan tempahan tiket bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada hari penerbangan.






