Gejala Penyalahgunaan Dadah Kini Menular Di Kawasan Pedalaman

Gejala Penyalahgunaan Dadah Kini Menular Di Kawasan Pedalaman

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

LONG BANGA, BARAM – Ibu bapa di luar bandar diingatkan sentiasa memantau anak masing-masing agar tidak mudah terjerumus dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.

Menurut laporan Utusan Borneo, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Gala dipetik berkata bahawa beliau khuatir terhadap gejala penyalahgunaan dadah yang kini semakin menular di kawasan pedalaman.

“Ibu bapa yang mengesyaki jika anak-anak ada terjebak dengan dadah, sila laporkan segera kepada pihak berkuasa seperti polis agar merekadapat dirawat awal di pusat pemulihan.

“Jika masalah dadah tidak dipantau awal, ia akan memberi kesan besar bukan sahaja kepada penagih itu sendiri malah kepada seluruh komuniti,” katanya pada perasmian Pesta Saban di Kampung Long Banga, Baram di sini.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak itu berkata, Pesta Saban dapat dijadikan sebagai landasan mempromosi dan memperkenalkan masyarakat dan kebudayaan Saban kepada orang luar.

Menurutnya, terdapat pelbagai tempat pelancongan menarik di kawasan Long Banga dan daerah Ketapang yang mempunyai alam semula jadi berpotensi menjadi tarikan ekopelancongan dan pengembaraan.

“Pesta ini juga adalah peluang bagi intelek dan pemimpin kaum Saban memikir dan merancang masa depan dan sosioekonomi di sini.

“Selain itu, ia dapat memupuk semangat perpaduan dan kemasyarakatan kaum Saban khasnya, antara generasi muda lahir dan tinggal di bandar,” katanya.

Gerawat turut mengumumkan peruntukan kira-kira RM1 juta tahun depan bagi menaik tarafjalan bersimen dari Lapangan Terbang Long Banga ke balai raya dan gereja sepanjang 1.3 kilometer. Sebagai tanda sokongan beliau terhadap pesta tersebut, sejumlah RM15,000 melalui projek kecilluar bandar (MRP) disediakan untuk penganjuran Pesta Saban 2018.

Selain itu, Gerawat juga menyampaikan hasrat masyarakat tempatan agar penerbangan MASwings ke Long Banga dapat ditambah daripada dua kali seminggu kepada tiga kali seminggu.

Beliau berharap masyarakat Saban dan pemimpin-pemimpin masyarakat bersemangat terus menganjur dan mengembangkan Pesta Saban seperti Pesta Nukenen Bario yang pertama kali dianjurkan 14 tahun lalu dan berjaya menarik perhatian menteri kerajaan negeri dan persekutuan.