KOTA KINABALU – Gerakan Mahasiswa Borneo (GMB) menyatakan sokongan penuh terhadap desakan Gabungan NGO Bebas Suara (BEBAS) agar Kerajaan Negeri Sabah menggunakan kuasa imigresen khas negeri untuk mengusir dan menghalang kemasukan semula mana-mana pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) asal Semenanjung Malaysia yang didapati terlibat dalam demonstrasi haram, provokasi melampau atau tindakan yang boleh mengancam keamanan dan keharmonian negeri.
Menurut kenyataan GMB, Sabah tidak boleh terus berlembut terhadap mana-mana individu luar yang datang atas tiket pendidikan tetapi kemudiannya terlibat dalam aktiviti yang mencetuskan provokasi, mengganggu ketenteraman awam dan cuba menghasut rakyat negeri ini untuk turun ke jalanan.
GMB berkata cubaan membawa budaya demonstrasi jalanan ke Sabah bukanlah cara rakyat negeri ini menyelesaikan perbezaan pandangan. Sabah mempunyai budaya politik yang tersendiri yang mengutamakan keharmonian, kestabilan dan saluran demokrasi yang sah.
Menurut kenyataan itu, insiden yang berlaku di Matunggong baru-baru ini amat membimbangkan apabila terdapat dakwaan beberapa pelajar dari Semenanjung Malaysia bertindak melakukan provokasi terhadap pihak berkuasa sehingga mencetuskan ketegangan di kawasan tersebut.

“Datang ke Sabah untuk belajar, maka belajarlah. Jangan datang sebagai pelajar tetapi bertindak sebagai aktivis yang cuba membawa budaya demonstrasi jalanan dan konfrontasi ke negeri ini.
“Rakyat Sabah tidak pernah meminta untuk diajar bagaimana mengurus negeri sendiri. Mereka yang datang dari luar harus menghormati adat, budaya, undang-undang dan sensitiviti rakyat Sabah.
“Jika ada pihak yang merasakan mereka bebas melakukan provokasi, mengganggu tugas pihak berkuasa dan mencetuskan ketegangan hanya kerana berstatus pelajar, mereka silap. Status pelajar bukan lesen untuk melanggar undang-undang,” menurut kenyataan itu.
Menurut GMB, kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Suara Mahasiswa UMS juga tidak boleh mendakwa mewakili keseluruhan suara mahasiswa Universiti Malaysia Sabah. Majoriti pelajar UMS mempunyai pandangan dan pendirian yang pelbagai serta tidak semestinya bersetuju dengan tindakan atau agenda yang dibawa oleh kumpulan tersebut.
GMB turut merujuk kepada kenyataan pihak universiti sebelum ini yang menjelaskan bahawa penggunaan nama “UMS” oleh mana-mana kumpulan tanpa kebenaran rasmi universiti adalah tidak dibenarkan dan tidak mewakili pendirian rasmi institusi berkenaan.
Menurut GMB, beberapa aktiviti yang dikaitkan dengan kumpulan berkenaan sebelum ini turut menimbulkan pelbagai kontroversi termasuk insiden pembakaran foto Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika satu himpunan yang didakwa dianjurkan atas nama perjuangan menentang rasuah pada tahun lalu.
“Jika benar perjuangan mereka berasaskan prinsip menentang rasuah, mengapa mereka dilihat begitu lantang terhadap isu-isu tertentu tetapi tidak menunjukkan pendirian yang sama terhadap dakwaan penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah berjumlah RM1.5 bilion yang pernah dikaitkan dengan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dan yang sehingga kini terus menjadi perbahasan dalam kalangan rakyat Sabah?
“Rakyat berhak mempersoalkan mengapa isu tersebut tidak diberikan perhatian yang sama sedangkan ia melibatkan jumlah yang sangat besar dan telah lama menjadi perhatian umum di Sabah.
“Keadaan ini menimbulkan persepsi bahawa perjuangan yang dibawa oleh kumpulan berkenaan bersifat terpilih, iaitu lantang terhadap isu tertentu tetapi memilih untuk berdiam diri terhadap isu lain yang turut mendapat perhatian rakyat.
“Perjuangan yang benar-benar berasaskan prinsip seharusnya konsisten tanpa mengira siapa individu atau parti politik yang terlibat. Mahasiswa perlu dilihat memperjuangkan kebenaran dan integriti secara menyeluruh, bukannya memilih isu tertentu mengikut kecenderungan politik masing-masing,” menurut kenyataan itu.
GMB turut berpandangan bahawa Sabah perlu mencontohi ketegasan Sarawak dalam menggunakan kuasa imigresen terhadap individu luar yang mencetuskan provokasi, mengganggu ketenteraman awam atau menggugat kestabilan negeri.
Menurut GMB, kuasa imigresen khas Sabah merupakan antara hak istimewa yang diperoleh ketika pembentukan Malaysia pada tahun 1963 bagi melindungi kepentingan, keselamatan dan keharmonian negeri. Oleh itu, kerajaan negeri tidak seharusnya teragak-agak menggunakannya terhadap mana-mana individu luar yang didapati mencetuskan provokasi atau mengganggu ketenteraman awam di Sabah.






