GRS Parti Berdisiplin, Fokus Perjuangan Untuk Orang Sabah – Liew Yun Fah

GRS Parti Berdisiplin, Fokus Perjuangan Untuk Orang Sabah – Liew Yun Fah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah menegaskan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal sebagai sebuah parti yang berdisiplin dan berpegang teguh kepada prinsip rundingan serta keputusan bersama pucuk pimpinan sebelum membuat sebarang kenyataan rasmi berkaitan politik semasa.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Ahad.

Menurutnya, setiap keputusan dalam GRS perlu melalui proses dalaman parti kerana jawatankuasa yang telah diamanahkan memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju politik gabungan itu.

“Sebelum ada sebarang keputusan, saya tidak boleh bagi apa-apa komen. Selepas ada keputusan, saya akan jelaskan kepada media. Saya rasa media sangat penting membantu saya sama ada untuk maju atau undur. Tapi buat masa ini, sabar dulu. Orang Sabah mesti bantu orang Sabah,” katanya.

Mengulas lanjut, Liew menegaskan bahawa PHRS memberi tumpuan kepada kawasan Merotai dan Kukusan dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17.

Beliau turut menjelaskan mengenai isu pengumuman melibatkan Datuk Ruji Ubi yang dinamakan sebagai calon di Merotai masih menunggu keputusan muktamad daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibarhim dan kepimpinan pusat.

“Saya dengan mereka semua kawan. Jadi lebih baik kita tunggu keputusan pucuk pimpinan dahulu. Saya memegang parti, bukan peribadi. Kalau peribadi saya boleh buat sesuka hati, tapi dalam parti, saya mesti dapat restu daripada semua ahli jawatankuasa,” ujarnya.

Mengulas mengenai pelancaran jentera GRS, Liew menyifatkannya sebagai satu kejayaan besar yang mencerminkan semangat dan sokongan rakyat terhadap kerajaan negeri pimpinan GRS.

Beliau menegaskan bahawa pelbagai inisiatif dan pembangunan infrastruktur yang kini dinikmati rakyat adalah hasil usaha kerajaan GRS.

“Contohnya, di Merotai, lampu jalan yang 80 tahun tidak ada kini sudah ada, dewan pun dibina. Banyak infrastruktur dan subsidi telah diberikan kepada rakyat. Jadi, saya rasa GRS sudah buat yang terbaik,” katanya.

Beliau menyeru agar rakyat terus memberi peluang kepada GRS untuk meneruskan pentadbiran negeri dengan lebih kukuh, sambil menegaskan bahawa kekuatan kerajaan terletak pada sokongan rakyat sendiri.

“Kalau rakyat mahu kita pegang kuat, maka kita kuat. Tapi kalau rakyat mahu pecahkan rumah sendiri, itu pilihan mereka. Saya yakin rakyat sudah sedar siapa yang mereka mahu pilih,” katanya.

Menjawab isu fitnah politik, Liew berkata, beliau sudah lali dengan serangan dan tohmahan sedemikian sepanjang penglibatannya dalam dunia politik, namun menegaskan bahawa kerja dan keikhlasan pemimpin akan dinilai oleh rakyat.

“Fitnah bukan penentu pilihan rakyat. Rakyat akan menilai melalui kerja kita,” katanya.