Hajiji Ditekan Untuk Jawatan Menteri Dan Cuba Digulingkan, UMNO Yang Mangsa? –...

Hajiji Ditekan Untuk Jawatan Menteri Dan Cuba Digulingkan, UMNO Yang Mangsa? – Zulkarnain

0
SHARE

KOTA KINABALU: Datuk Seri Hajiji Noor merupakan mangsa sebenar dalam kemelut politik Sabah, bukannya UMNO, tegas Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang mendakwa pengalaman pahit bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjadi sebab UMNO berbelah bahagi untuk menjalin kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).

“Semua orang tahu, Hajiji dan GRS yang sebenarnya dibuli dari awal, bukannya Bung atau UMNO-BN,” katanya dalam kenyataan media.

Zulkarnain mendakwa, selepas PRN-16 pada 2020, Hajiji ditekan secara senyap untuk menyerahkan portfolio penting dalam Kabinet Negeri kepada pemimpin UMNO, termasuklah jawatan Menteri Pembangunan Infrastruktur yang pada asalnya dirancang untuk diberikan kepada Datuk Seri Masidi Manjun, tetapi akhirnya diserahkan kepada Bung Moktar.

“Pada awalnya Bung hanya dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, tetapi selepas tekanan senyap ke atas Hajiji, portfolio beliau diubah,” katanya.

Menurut Zulkarnain lagi, hampir semua jawatan menteri dan pengerusi GLC turut diberikan kepada pemimpin UMNO, menandakan ketidakseimbangan kuasa dalam kerajaan negeri yang diterajui Hajiji ketika itu.

Beliau turut mengingatkan bahawa kemuncak kepada ‘buli politik’ itu berlaku pada tahun 2023, apabila Bung Moktar dikatakan berpakat dengan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal untuk menjatuhkan kerajaan negeri melalui langkah kudeta.

Usaha itu gagal apabila wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Sabah enggan menyokong pergerakan tersebut.

“Persoalannya sekarang, siapa sebenarnya mangsa buli politik UMNO atau GRS?” soal beliau.

Zulkarnain turut menasihati Bung agar tidak memutar belit fakta dan cuba mengelirukan rakyat dengan naratif songsang yang tidak mencerminkan realiti sebenar.