AMT Warisan Diketuai Taib Keluar Parti dan Sokong Gagasan Rakyat

AMT Warisan Diketuai Taib Keluar Parti dan Sokong Gagasan Rakyat

0
SHARE

KOTA BELUD: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor terus menerima suntikan sokongan politik apabila Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan merangkap Naib Ketua Bahagian Warisan Kota Belud, Mohd Taib Isai, mengumumkan keluar daripada parti itu bersama beberapa pimpinan kanan pusat, negeri dan akar umbi untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Mohd Taib berkata, keputusan tersebut dibuat selepas menilai perkembangan politik semasa dan mendapati kepimpinan Warisan gagal menyatukan kekuatan politik Sabah serta semakin menjauh daripada aspirasi rakyat di negeri ini.

Menurut beliau, ramai pemimpin dan ahli akar umbi Warisan kini semakin kecewa kerana pandangan mereka tidak lagi diberi perhatian oleh pucuk kepimpinan parti.

Keputusan ini bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya setelah menilai perkembangan politik semasa serta kegagalan kepimpinan parti untuk menyatukan kekuatan politik Sabah demi kepentingan rakyat dan negeri.

“Ramai pemimpin akar umbi semakin kecewa kerana suara mereka tidak lagi diberi perhatian dan parti dilihat semakin jauh daripada aspirasi rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kepimpinan Hajiji menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah berjaya mewujudkan kestabilan politik negeri selain menyatukan pelbagai pemimpin dan parti tempatan di bawah satu agenda pembangunan yang jelas.

Katanya, pendekatan inklusif dan sederhana yang dibawa Hajiji memberi keyakinan bahawa masa depan Sabah lebih terjamin dan mampu berkembang dengan lebih baik.

“Atas keyakinan tersebut, kami mengambil keputusan untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah dan memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam meneruskan agenda pembangunan negeri,” katanya.

Mohd Taib turut berpandangan bahawa gelombang sokongan terhadap Gagasan Rakyat dan GRS akan terus meningkat dalam tempoh terdekat, dengan lebih ramai lagi pemimpin serta ahli Warisan dijangka mengambil langkah sama demi perjuangan politik yang lebih stabil, progresif dan berfokus kepada kepentingan Sabah.

Antara pimpinan yang turut mengumumkan keluar daripada Warisan ialah Ketua Wanita Warisan Kudat merangkap Exco Wanita Pusat, Datin Roziah; Ketua Wanita Warisan Kota Marudu merangkap Exco Wanita Pusat, Maini Tapah; Ketua Wanita Warisan Sandakan merangkap Exco Wanita Pusat, Masilah Lidah; serta beberapa bekas pemimpin bahagian termasuk Datuk Hanjan Samit, Andrew Lintangah, Datuk Arif Abdullah dan Cikgu Abu Bakar Angkang.

Turut menyertai langkah tersebut ialah beberapa Ahli Jawatankuasa Bahagian, Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta pemimpin dan ahli akar umbi dari Kota Belud, Kudat, Kota Marudu dan Sandakan.

Perkembangan terbaharu itu dilihat sebagai satu lagi petunjuk bahawa Gagasan Rakyat dan GRS terus menjadi pilihan pemimpin politik tempatan yang mahukan kestabilan politik serta kesinambungan agenda pembangunan Sabah di bawah kepimpinan Hajiji.