Hajiji Yakin GRS Akan Terus Mandat Rakyat Pada PRN-17

Hajiji Yakin GRS Akan Terus Mandat Rakyat Pada PRN-17

0
SHARE

TAMBUNAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yakin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus diberi mandat baharu oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, berikutan sokongan kuat terhadap parti-parti tempatan untuk menerajui pentadbiran negeri.

Menurut beliau, GRS ketika ini merangkumi lapan parti tempatan iaitu Parti Solidariti Tanahairku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Gagasan Rakyat Sabah, Sabah Progressive Party (SAPP), Parti Harapan Rakyat Sabah, United Sabah National Organisation (Usno), Liberal Democratic Party (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

“Lapan parti tempatan ini menjadi sandaran utama kita dalam menghadapi PRN akan datang. Sentimen rakyat jelas menyokong parti tempatan untuk memimpin politik Sabah dan kita tidak boleh mensia-siakan peluang ini,” katanya ketika berucap pada Program Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025 di Dataran Pisompuruan, di sini, hari ini.

Hajiji menegaskan, rakyat perlu bersatu bagi memastikan GRS terus mendapat kemenangan cemerlang dalam PRN-17, termasuk di Tambunan yang dipimpin Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.

Ketua Menteri berkata, sepanjang lima tahun lalu, kerajaan negeri di bawah GRS telah membuktikan pencapaian melalui pembangunan berasaskan tiga teras ekonomi iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan.

Dalam sektor pertanian, kerajaan menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah dengan matlamat meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) makanan negeri kepada 60 peratus menjelang 2030.

Bagi sektor perindustrian pula, dasar mesra pelabur telah berjaya menarik pelaburan berimpak tinggi, termasuk pelaburan bernilai RM31 bilion dari Singapura melalui tiga fasa. Pelaburan ini bukan sahaja menjana ekonomi negeri malah mewujudkan ribuan peluang pekerjaan.

Dalam aspek sosioekonomi, kerajaan negeri menyalurkan bantuan bulanan RM300 kepada kira-kira 100,000 isi rumah miskin dan miskin tegar. Secara keseluruhan, sebanyak RM1.4 bilion telah dibelanjakan bagi membantu lebih 70,000 penerima bantuan kebajikan.

Selain itu, sejumlah RM1.33 bilion turut diperuntukkan untuk pembangunan modal insan dalam sektor pendidikan.

Dalam ucapannya, Hajiji turut mengulas mengenai kepimpinan terdahulu, khususnya Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.

“Saya ingin bertanya, apa yang telah dilakukan oleh Shafie sepanjang dua setengah tahun beliau menjadi Ketua Menteri dan ketika menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar selama hampir tujuh tahun?” katanya.

Beliau menegaskan, dengan rekod pencapaian jelas yang telah dibuktikan oleh GRS, rakyat Sabah tidak boleh tersilap membuat pilihan dalam PRN akan datang.