KOTA KINABALU, SABAH – Harapan dan citarasa baharu rakyat dalam melihat puncuk pimpinan negeri Sabah bakal tercipta melalui gabungan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah jika mandat diberikan kepada mereka pada Pilihan Raya Negeri tahun ini.
Ketua Penerangan Bersatu Sabah, Khairul Firdaus Akbar, berkata, gabungan yang diketuai Datuk Seri Hajiji Mohd Noor serta Datuk Seri Bung Moktar Radin itu adalah kombinasi terbaik untuk mengetuai gelombang rakyat negeri itu menentang Parti Warisan Sabah (Warisan) dan rakan sekutunya.
Malah, katanya, gabungan kekuatan semua parti di bawah Perikatan Nasional itu sudah pasti akan menjadi nilai tambah kepada kerajaan Persekutuan sekali gus memberi kelebihan kepada Sabah.

“Bersatu Sabah sentiasa bersedia menghadapi PRN ‘kilat’ ini. Saya yakin dengan gabungan kepimpinan Hajiji dan Bung untuk mengetuai gelombang rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada semalam.
Justeru, Khairul Firdaus menyeru rakyat Sabah disaran untuk memberi peluang dan ruang kepada gabungan baharu ini untuk mentadbir sekali gus membuktikan keupayaan mereka mengemudi kerajaan negeri demi kemajuan dan kemakmuran bersama.
Tambahnya lagi, agenda hak rakyat Sabah dan pembangunan negeri akan menjadi fokus utama gabungan kepimpinan itu selain peluang kepada pimpinan baru serta anak muda untuk terlibat dalam pentadbiran Sabah.





