KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia perlu menjadi peringatan terhadap peranan penting Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia serta tanggungjawab bersama untuk terus memelihara perpaduan dan keharmonian negara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, 16 September bukan sekadar tarikh bersejarah, sebaliknya memperingati pembentukan Malaysia melalui penyatuan Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu pada 1963.
“Sabah dan Sarawak mempunyai tempat yang penting dalam pembentukan Malaysia. Semangat, pandangan dan aspirasi generasi terdahulu menjadi sebahagian daripada asas kepada negara yang kita bina bersama hari ini,” katanya dalam perutusan sempena Hari Malaysia, hari ini.
Hajiji berkata, rakyat Sabah perlu terus menghargai kedudukan negeri itu dalam Malaysia, selain bersama-sama mempertahankan keharmonian dan perpaduan yang menjadi kekuatan negara.
Pada masa sama, katanya, usaha memastikan pembangunan Sabah terus bergerak maju perlu diteruskan demi kepentingan dan kesejahteraan generasi akan datang.
“Sebagai rakyat Sabah, marilah kita terus menghargai kedudukan Sabah dalam Malaysia, memelihara keharmonian dan perpaduan serta memastikan pembangunan negeri terus bergerak maju demi generasi akan datang,” katanya.
Beliau berharap semangat Hari Malaysia akan terus memperkukuh kebersamaan rakyat di seluruh negara, dengan Sabah dan Sarawak terus memainkan peranan penting dalam mencorakkan masa depan Malaysia.
“Semoga semangat Hari Malaysia terus menyatukan kita sebagai sebuah keluarga besar Malaysia dengan Sabah dan Sarawak terus memainkan peranan penting dalam membina masa depan negara,” katanya.
Hajiji turut mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat Malaysia.






