Hina Adat Resam, 20 Persatuan KDMR Tidak Puas Hati Hukuman Dikenakan Kepada...

Hina Adat Resam, 20 Persatuan KDMR Tidak Puas Hati Hukuman Dikenakan Kepada Marcel Jude

0
SHARE
Datuk Ewon Ebin...

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 20 persatuan Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) di sini menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap hukuman yang dikenakan peguam Marcel Jude setelah menghina acara adat resam mereka.

Mewakili persatuan-persatuan itu, Presiden United Sabah Dusun Association (USDA), Datuk Ewon Ebin berkata perkara tersebut seharusnya diselesaikan di peringkat Makhamah Anak Negeri.

“Kami telah mengemukakan penyataan tuntutan bagi pihak pelbagai etnik suku kaum orang asal Sabah terhadap Marcel Jude ekoran kenyataan beliau berkenaan acara Unduk Ngadau yang beliau telah samakan dengan ‘sebuah pertunjukkan lembu eksotik’,” katanya dalam sebuah kenyataan malam tadi.

Katanya persatuan-persatuan terbabit telah bersidang pada 10 Julai dan bersetuju bahawa kenyataan Marcel adalah satu penghinaan besar terhadap masyarakat KDMR dan undang-undang adat orang Sabah.

“Oleh yang demikian hal ini haruslah dihakimi pada Makhamah Anak Negeri,” katanya lagi.

Menurutnya, sesetengah masyarakat KDMR tidak berpuas hati bahawa penghinaan Marcel diselesaikan melalui Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA).

Pada Sabtu, KDCA telah mengarah si pelaku membayar ‘sogit’ (denda) tujuh (7) ekor kerbau selain menuli permohonan maaf sepanjang setengah muka surat pada akhbar tempatan pilihan beliau.

“Kami berpendirian bahawa cara KDCA menangani hal ini adalah tidak tepat kerana mereka tidak mengikut prosedur yang sepatutnya.

“KDCA hanyalah sebuah NGO dan mereka tidak boleh mendakwa bahawa mereka mewakili masyarakat KDMR secara keseluruhannya.

“Persatuan yang berkait rapat dengan KDCA pun tidak di bawa berunding bersama berhubung hukuman ini.

“Itulah sebab hal sebegini perlu dijelaskan pada peringkat Makhamah Anak Negeri di Penampang di mana semua hal termaktub dan tiada lagi perbincangan luar.

“Jika ini terus berlaku makanya begitu mudah ketidakadilan kehakiman berlaku disebabkan pengaruh luar pada masa akan datang,” kata Ewon.

Ewon mewakili 19 lagi persatuan yang lain yang terdiri daripada Angkatan Perpaduan Sabah (APS), Momogun National Congress (MNC), Persatuan Dusun Luba Sabah, Persatuan Kebudayaan Lundayoh, Persatuan Tombonuo Sabah, Persatuan Suang Lotud, Persatuan Pengamal Adat Sabah.

Persatuan Tatana Kebudayaan Sabah, Persatuan Penjajah dan Peniaga Kecil Pasar Besar Kota Kinabalu, Rungus Cultural Association (RCA), Persatuan Kimarangan Sabah, Persatuan Suku Kaum Dusun Subpan Segama, Lahad Datu Sabah.

Persatuan Etnik Sonsogon Sabah, Persatuan Desanita, Persatuan Tinagas Zon Utara, Persatuan Tindal Sabah, Persatuan Komulakan Suang Lotud Tuaran dan Persatuan Tobilung Sabah.