KENINGAU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB) menyambut baik kehadiran dua Pegawai Perubatan baharu di Hospital Keningau dan berharap penambahan tenaga kesihatan di daerah itu dapat diteruskan pada masa akan datang.
Pengerusinya, Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata kehadiran Dr Muhammad Zuhalli Ziauddin dan Dr Nur Liyana Syairah Rosli amat dialu-alukan dalam membantu memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan penduduk Keningau dan kawasan sekitarnya.
“Syukur Alhamdulillah, akhirnya ada juga rezeki rakyat Keningau dengan kehadiran dua orang doktor baharu di Hospital Keningau.
“Kita amat mengalu-alukan kedatangan mereka dan berharap kehadiran ini dapat membantu memperkukuhkan lagi perkhidmatan kesihatan di daerah ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Yazid, tambahan tenaga perubatan itu amat bermakna kepada masyarakat, khususnya dalam usaha memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti terus dipertingkatkan.
Beliau turut mengucapkan selamat datang dan selamat berkhidmat kepada kedua-dua pegawai perubatan itu serta berharap mereka dapat melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi, ikhlas dan profesional.
“Kepada Dr Muhammad Zuhalli dan Dr Nur Liyana Syairah, selamat datang ke Keningau dan selamat berkhidmat kepada masyarakat. Semoga doktor berdua sentiasa diberikan kesihatan, kekuatan dan kesabaran dalam melaksanakan tanggungjawab,” katanya.
Dalam pada itu, Yazid menyeru masyarakat Keningau supaya terus memberikan sokongan dan kerjasama kepada doktor, jururawat serta seluruh warga Hospital Keningau yang berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Yazid yang juga Ahli Jawatankuasa Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian P180 Keningau berharap pertambahan tenaga perubatan itu menjadi sebahagian daripada usaha berterusan meningkatkan akses dan mutu perkhidmatan kesihatan di daerah berkenaan.
Beliau turut berharap Keningau terus mendapat perhatian dalam aspek penambahan tenaga kesihatan pada masa akan datang.






