SEPANYOL: Tiga beradik warga Jerman, termasuk pasangan kembar berusia 8 tahun dan abang mereka berusia 10 tahun, diselamatkan dari sebuah rumah di Oviedo, Sepanyol pada 28 April lalu selepas dikurung oleh ibu bapa mereka selama tiga tahun selepas sekatan pandemik Covid-19 berakhir.
Menurut Sky News, kanak-kanak itu dikurung sejak 2021, apabila keluarga tersebut berpindah ke rumah sewa yang didaftarkan atas nama bapa.
Sejak Disember tahun itu, jiran-jiran tidak pernah melihat sesiapa keluar atau masuk ke rumah berkenaan.
Mereka kemudiannya membuat laporan kepada pihak polis apabila menyedari kanak-kanak terbabit tidak bersekolah.
Polis menyerbu rumah itu dan disambut oleh si ibu yang memberi amaran bahawa anak-anaknya “sakit teruk”.
Di dalam rumah, polis menemui keadaan yang sangat kotor, dipenuhi sampah, pelbagai ubat-ubatan, topeng muka dan buaian kanak-kanak yang diconteng dengan gambar raksasa serta patung-patung.
“Kanak-kanak itu bukan kurang makan, tetapi mereka kotor, ketakutan, dan langsung tidak kenal dunia luar.
“Bila dibawa ke taman dan nampak siput, mereka jadi panik,” kata seorang pegawai kepada Sky News.
Ketua Polis Oviedo, Javier Lozano menyifatkan lokasi itu sebagai “rumah seram”.
“Kami telah mengembalikan kehidupan kepada tiga kanak-kanak,” katanya dalam satu sidang media.
Beliau turut menyatakan bahawa walaupun ramai terkesan secara psikologi akibat pandemik, tindakan mengurung anak selama tiga tahun adalah sesuatu yang melampau dan tidak boleh diterima.
Hasil siasatan mendapati pasangan itu — lelaki Jerman berusia 53 tahun dan isterinya, wanita Amerika berumur 48 tahun yang turut memegang pasport Jerman — mengasingkan anak-anak mereka dari dunia luar dengan alasan kesihatan.
Memetik laporan People, mereka kini ditahan reman tanpa jamin atas tuduhan penderaan psikologi dan pengabaian kanak-kanak.
Selepas diselamatkan, ketiga-tiga kanak-kanak dihantar ke Pusat Hak Asasi Manusia Kebangsaan untuk pemeriksaan kesihatan, sebelum diserahkan kepada Kementerian Kebajikan untuk penjagaan lanjut di pusat perlindungan kanak-kanak.
Mereka kini menerima rawatan psikologi dan sokongan pemulihan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran luar.