TUARAN: Seorang individu yang dikaitkan dengan dakwaan cubaan menculik kanak-kanak di Pasar Ikan Tuaran, Rabu lalu, dipercayai mengalami gangguan kesihatan mental.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin Ag. Maidin berkata, perkara itu dikenal pasti hasil siasatan polis susulan penularan maklumat mengenai kejadian berkenaan di media sosial pada 28 Oktober lalu.
Menurutnya, siasatan mendapati individu terbabit telah memasuki sebuah kenderaan yang dinaiki seorang kanak-kanak sebelum bertindak cuba menyentuhnya.
“Bagaimanapun, tindakan pantas orang awam yang berada di lokasi berjaya membantu kanak-kanak tersebut.
“Kanak-kanak berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Noraidin berkata, berdasarkan hasil siasatan setakat ini, polis tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan kejadian berkenaan mempunyai unsur penculikan seperti yang didakwa dalam maklumat tular.
Katanya, individu terbabit juga telah diambil oleh ahli keluarganya dan kini berada dalam keadaan selamat di bawah jagaan mereka.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa mengawasi keselamatan kanak-kanak serta tidak meninggalkan mereka bersendirian di dalam kenderaan walaupun untuk tempoh singkat.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya sehingga boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang kejadian atau perlakuan mencurigakan.






