KUALA LUMPUR: Inflasi Indeks Harga Pengeluar (IHPR) yang meningkat sebanyak 1.9 peratus pada Aprli lalu menunjukkan tekanan kos yang lebih tinggi untuk perniagaan tempatan.
Menurut Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) Research, walaupun perniagaan akan terjejas oleh turun naik harga komoditi global, tekanan kos akan menjadi lebih tinggi pada tahun ini berikutan kesan daripada perubahan dasar seperti rasionalisasi subsidi dan kenaikan harga bahan api.
“Sehubungan itu, kami menjangka inflasi pengguna akan naik sedikit kepada 2.7 peratus pada tahun ini (2023: 2.5 peratus), sebahagian besarnya berikutan perubahan dari segi penawaran,” kata firma penyelidikan itu dalam satu laporan.
Mengikut sektor, katanya sektor pembuatan menyaksikan kenaikan kos yang lebih cepat kepada 0.8 peratus tahun ke tahun (Mac 2024: 0.6 peratus tahun ke tahun). Inflasi sektor perlombongan meningkat kepada 10.0 peratus (Mac 2024: 8.3 peratus tahun ke tahun), kenaikan paling mendadak dalam tempoh 22 bulan.
Bagaimanapun, inflasi harga untuk sektor pertanian susut kepada 5.4 peratus (Mac 2024: 5.5 peratus).
Kos untuk bekalan elektrik, gas dan air naik lebih cepat sebanyak 1.0 peratus, tertinggi dalam tempoh 10 bulan selepas kenaikan yang perlahan sebanyak 0.1 peratus tahun ke tahun pada dua bulan sebelumnya.