Oleh: Mirlen Axtius
Kota Kinabalu: Prosiding Inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Khas Koroner hari ini mendedahkan kewujudan satu kumpulan pelajar yang dikenali sebagai “Circle 19” di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.
Peguam ibu Zara, Shahlan Jufri berkata, saksi kanak-kanak kelima yang juga sebahagian daripada kumpulan itu mendedahkan Circle 19 terdiri daripada 19 orang pelajar dalam satu tingkatan yang berkawan rapat sejak awal persekolahan.
Menurutnya, insiden kehilangan dompet dan pin bendera yang dikaitkan dengan arwah Zara telah mencetuskan pertanyaan serta tuduhan daripada ahli kumpulan berkenaan pada malam sebelum tragedi.
Saksi berkenaan menyatakan Zara disuruh duduk di lantai sebelum ditanya mengenai kehilangan dompet.
Zara menafikan dakwaan itu dan bersumpah menggunakan nama Allah dengan lafaz “Wallahi”.
Namun, keadaan menjadi tegang apabila seorang lagi pelajar menyoal dengan nada marah tentang pin bendera yang ditemui dalam beg Zara sambil menjerit perkataan kesat.
Beberapa pelajar lain turut menyoal siasat mengenai pin berkenaan dan walaupun Zara berulang kali menafikan, tekanan terus diberikan.
Saksi turut menyebut ada pelajar lain yang memegang sepucuk surat berlipat semasa Zara masih duduk menundukkan kepala.
Seorang lagi saksi kanak-kanak menceritakan bahawa Zara dipanggil ke bilik asrama lain pada malam kejadian.
Saksi mendengar ugutan kasar termasuk jeritan berbunyi, “Budu sial, aku injak la kepala ko ni”, yang kedengaran jelas di seluruh dorm.
Perjumpaan tersebut berlangsung hampir 20 minit sebelum Zara dilihat kembali ke biliknya.
Kedua-dua saksi menyebut keadaan cuaca ketika itu hujan lebat disertai angin kencang dan menurut mereka, warden asrama mengarahkan semua pelajar kembali ke bilik masing-masing kerana ribut.
Dalam perkembangan lain, peguam Nizam Salleh berkata, pasukan pemeriksa forensik dokumen selesai menjalankan analisis terhadap beberapa bahan bukti.
“Pihak kami memohon agar baki 11 item bertulis, termasuk sebuah buku bertajuk “Love and Peace”, diperiksa semula oleh Bahagian DNA Forensik, Jabatan Kimia,” katanya.