PUTRAJAYA – Insiden kekecohan yang berlaku di Majlis Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Bersama Perdana Menteri – Segmen Penggiat Seni yang berlangsung di kediaman rasmi Perdana Menteri semalam menyebabkan satu kertas siasatan dibuka oleh IPD Putrajaya.
Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Rosly Hassan, kertas siasatan mula dibuka selepas menerima dua laporan polis berhubung insiden itu yang tular di laman media sosial sejak malam semalam. Laporan polis yang diterima telah dibuat oleh pihak polis sendiri di IPD Putrajaya dan orang awam di Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur selepas tidak berpuas hati terhadap insiden kekecohan itu.
“Sekarang polis sedang menjalankan siasatan dan saya harap mereka sabarlah menunggu keputusan. Tak perlulah mereka buat komen pelbagai yang akan menjadikan suasana yang lebih tak harmoni dan sebagainya.
“Untuk orang awam, tak perlu viral lagilah. Beri peluang kepada polis untuk membuat siasatan segera,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Beliau turut berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan yang boleh membawa hukuman penjara setahun, denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Insiden itu berlaku disebabkan David tidak berpuas hati dengan cara kendalian Datuk Rosyam Nor sebagai moderator pada majlis tersebut kerana tidak bersifat adil kepada semua peserta yang hadir termasuklah kepada dirinya.
Dalam video yang tular di laman sosial itu, semasa berlaku ketegangan dalam perbicaraan antara David dan Rosyam yang cuba mengawal keadaan, Mat Over tiba-tiba muncul daripada tempat duduk peserta dan menuju ke arah David lalu menamparnya kerana tidak berpuas hati dengan sikap David yang biadap dan kurang sopan di hadapan Perdana Menteri.
Atas nasihat moderator majlis, David dan Mat Over bersalaman di hadapan Perdana Menteri sebagai tanda berdamai.