Ishak Seru Penyatuan Pasca PRU-17, Fokus Kesinambungan Pembangunan Bingkor

Ishak Seru Penyatuan Pasca PRU-17, Fokus Kesinambungan Pembangunan Bingkor

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Mohd Ishak Datuk Ayub menyeru semua ahli parti dan penyokong agar kembali bersatu pasca Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17 demi memastikan kesinambungan pembangunan untuk rakyat di kawasan itu.

Mengibaratkan situasi politik selepas pilihan raya sebagai “Biduk Lalu, Kiambang Bertaut”, beliau berkata perbezaan pandangan dan persaingan yang berlaku sepanjang musim pilihan raya wajar diketepikan demi kepentingan bersama.

“Pilihan raya sudah berlalu dan kita tidak menafikan wujud sedikit perpecahan akibat sokongan kepada calon masing-masing. Kini masanya untuk kita kembali berganding bahu dan melupakan persaingan lepas demi keutamaan rakyat Bingkor,” katanya ketika ditemui pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanjawan Sabah 2026, semalam.

Ishak yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah berkata, usaha memajukan Bingkor bukan hanya terletak di bahu wakil rakyat semata-mata, sebaliknya memerlukan penyertaan semua lapisan masyarakat.

“Bingkor masih memerlukan sentuhan pembangunan. Tanggungjawab kita adalah memastikan kawasan ini terus maju pada masa hadapan. Banyak lagi yang perlu dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Mengulas Belanjawan Sabah 2026, beliau menyifatkan pembentangan kali ini bukan sekadar melibatkan angka, sebaliknya memberi penekanan terhadap kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Menurutnya, belanjawan berjumlah RM6.402 bilion dengan Anggaran Hasil RM6.430 bilion itu bukan sahaja merekodkan lebihan RM28 juta, malah mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam mengekalkan kestabilan fiskal serta menyamaratakan pembangunan dari pelbagai aspek.

“Belanjawan ini menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk memastikan pembangunan berterusan dan manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya.