TAIPEI, TAIWAN – Seorang lelaki di sini menghadiahkan isterinya sebentuk cincin berlian selepas berjaya menurunkan berat badan sebanyak 75 kilogram (kg).
Portal Liputan 6 yang memetik kenyataan hantaran dimuat naik di laman Facebook melaporkan suami wanita itu berkongsikan kisah kejayaan isterinya itu berjaya menurunkan berat badan kepada 55 kg dalam masa dua tahun.
“Dua tahun lalu, isteri bertanya kepada saya, hadiah apa yang saya mahu pada hari ulang tahun kelahiran saya…
“Saya menjawab ‘tiada apa’, namun secara spontan saya bertanyakan kepadanya, sama ada dia boleh cuba menurunkan berat badan demi saya, sekali dalam seumur hidupnya,” tulis lelaki tersebut.
Menurut lelaki itu, selepas dicabar, isterinya berusaha untuk menurunkan berat badan dengan cara mengamalkan pemakanan yang seimbang.
“Selepas dua tahun, dia akhirnya berjaya menurunkan sebanyak 75 kg daripada 130 kg sebelum ini,” kata lelaki itu.
Isterinya kemudiannya dihadiahkan dengan sebentuk cincin berlian satu karat seperti yang dia janjikan.