KUALA LUMPUR – Dato’ Sri Anwar Ibrahim adalah calon pilihan utama Perdana Menteri Malaysia sekiranya jajaran baharu PKR dan UMNO (BN) berjaya mengambil alih Kerajaan Malaysia.
Menurut Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin dalam satu kenyataan hari ini berkata tidak mustahil sekiranya Pakatan Harapan (PH) bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan bersama berdasarkan persefahaman atas satu matlamat dan objektif sama untuk dicapai.
“Kita mesti berpusat kepada kekuatan kepemimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri,” ujar Shamsul.
Semalam, akhbar Mingguan Malaysia melaporkan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi keyakinan kepada ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO bahawa pemimpin parti itu akan kembali menjadi Perdana Menteri dalam jajaran baharu yang bakal dibentuk.
Menurut sumber, perkara itu dinyatakan Presiden UMNO dalam pertemuan bersama ahli MT sebagai menyokong usaha parti itu menarik balik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul menyifatkan, isu Ahmad Zahid menjadi Perdana Menteri selepas UMNO mengetuai jajaran baharu hanyalah satu bentuk perang psikologi.
Beliau menjelaskan, adalah mustahil Presiden UMNO itu mampu memegang jawatan tertinggi dalam pemerintahan negara kerana parti itu tidak cukup majoriti berbanding blok terbesar PH yang ada dalam Parlimen.
Justeru, beliau menegaskan bahawa Anwar tetap menjadi Perdana Menteri dalam pembentukan jajaran baharu PH bersama UMNO kelak.
Dalam pada itu jajaran baharu ini juga dijangka akan membawa kembali Parti DAP ke dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan.